BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kementerian Komunikasi sasar lahir seorang jurutera prompt di setiap NADI

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang jurutera prompt di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memperkasa kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan generasi muda.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha itu bertujuan memastikan anak muda bukan sahaja mahir menggunakan teknologi AI, malah berupaya membangunkan aplikasi dan penyelesaian digital yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Saya ingin meletakkan sebagai satu tangga harapan iaitu kita akan berusaha untuk melahirkan seorang jurutera prompt di setiap NADI di seluruh negara sama ada di Teluk Ramunia (Johor) atau Pulau Banggi (Sabah).

“Kita mahu ada jurutera prompt, anak muda yang fahami bukan hanya macam mana nak guna Gemini, Copilot, tapi semua perkakasan AI untuk bangunkan aplikasi baharu yang mampu bantu mereka di lapangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Menurut Fahmi, inisiatif tersebut berpotensi melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang celik teknologi selain membuka peluang pekerjaan baharu tanpa perlu berhijrah ke bandar-bandar besar.

Dalam perkembangan sama, beliau mahu kementeriannya memperluaskan pelaksanaan program turun padang dengan kerjasama pelbagai kementerian dan jabatan bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat perkhidmatan kerajaan.

Katanya, program berkenaan akan dimulakan pada 12 hingga 14 Jun ini bersempena dengan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026, dengan penglibatan aktif agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

“Saya minta supaya pihak RTM dan JAPEN menggerakkan program-program di lapangan.

“Program siaran terutama pada Sabtu dan Ahad serta rancangan siaran langsung perlu diusahakan di pelbagai tempat,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi seperti Wayang Pacak, Kenduri Rakyat dan Kempen Internet Selamat perlu diperluaskan dengan sokongan kementerian serta agensi lain.

Menurutnya, pendekatan bersepadu itu membolehkan rakyat menikmati pelbagai perkhidmatan, aktiviti dan program kerajaan menerusi satu platform yang lebih dekat dengan komuniti.

Sehubungan itu, Fahmi mengarahkan perancangan serta penyelarasan program diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaannya dapat dimulakan mengikut jadual.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button