Ibu reda pemergian anak, namun terkilan ditinggal berseorangan di puncak gunung
SEBERANG PERAI – Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, Rohani Saad, 64, tetap terkilan dengan cara anaknya, Mustaqqeem Mansor, 34, menemui ajal selepas dipercayai ditinggalkan berseorangan di puncak Gunung Liang, Perak.
Menurut Rohani, beliau menerima hakikat pemergian anak sulungnya itu dengan hati terbuka, namun sukar menerima kenyataan bahawa arwah dibiarkan sendirian ketika dalam keadaan tidak berdaya.
“Bukan saya tak reda anak saya meninggal, saya tahu itu takdir Allah. Tapi yang saya tak boleh terima, pasaipa (kenapa) hangpa tinggal dia? Lepas tu, tak buat laporan polis pun.
“Isteri dia yang akhirnya pergi buat laporan di Balai Polis Sungai Petani bila suaminya tak balik-balik,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Kosmo! Tanah Perkuburan Lahar Tabut, Penaga, pagi tadi.
Rohani berkata, beliau dimaklumkan anaknya mengalami kekejangan kaki (cramp) ketika berada di puncak gunung dan difahamkan ditemani seorang malim gunung (guide) sebelum kumpulan pendaki lain turun untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, dia hairan bagaimana usaha mencari anaknya memakan masa terlalu lama.
“Depa (mereka) kata enam jam cari tapi tak jumpa. Sedangkan polis dan bomba naik (gunung), tiga jam saja dah jumpa. Arwah ada ja atas tu, tak pi (pergi) mana pun,” katanya sebak.
Rohani turut berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pendaki agar mengutamakan keselamatan dan semangat setiakawan ketika berada di gunung.
“Kalau naik ramai, biarlah turun pun ramai. Jangan tinggal kawan dalam susah,” ujarnya penuh haru.
Mustaqeem dilaporkan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat kelmarin selepas diserang hipotermia (kesejukan melampau) selepas individu terakhir yang menemaninya turun untuk mendapatkan bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











