Kawasan pendakian ke Gunung Liang ditutup serta-merta – JPNP
IPOH – Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) mengumumkan kawasan pendakian Gunung Liang di Daerah Perak Selatan ditutup serta-merta kepada orang awam sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurutnya dalam satu kenyataan, penutupan itu dibuat bagi tujuan keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar di kawasan Hutan Simpanan Kekal yang menjadi laluan utama pendakian ke puncak Gunung Liang.
Walau bagaimanapun, JPNP menjelaskan bahawa penutupan tersebut tidak terpakai bagi program rasmi jabatan, termasuk Program Konservasi Trek Pendakian yang dijalankan mengikut garis panduan dan kebenaran ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Mana-mana individu yang melanggar arahan ini boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 47, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.
“Kesalahan tersebut boleh membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, JPNP turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan bagi memastikan kelestarian ekosistem Gunung Liang terus terpelihara.
Pada 16 Oktober lalu, seorang pendaki maut disebabkan oleh hipotermia (kesejukan melampau) di atas puncak gunung tersebut.
Mangsa, Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, sebelum itu bersama lapan rakan dibantu dua MGP memulakan pendakian ke Gunung Liang bermula di laluan Bukit Fraser, Bentong.
Bagaimanapun pendaki berkenaan dilaporkan tidak pulang selepas tamat aktiviti pendakian.
Berikutan itu, isteri mangsa melaporkan kehilangannya kepada polis.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan.
Mayat Mustaqqeem ditemui jam jam 3.30 petang di puncak gunung berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










