BERITA SEMASADALAM NEGERI

Gunung Liang: Mustaqqeem meninggal dunia akibat hipotermia

TANJUNG MALIM – Hasil bedah siasat terhadap mayat Mustaqqeem Mansoor, pendaki yang meninggal dunia di Gunung Liang ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser, mengesahkan punca kematian adalah akibat hipotermia.

Hipotermia atau kesejukan melampau, bermaksud keadaan apabila suhu badan seseorang turun ke paras yang terlalu rendah, biasanya di bawah 35 darjah Celsius, akibat terdedah kepada cuaca sejuk dalam tempoh lama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad berkata, mangsa ditemui mati di puncak Gunung Liang Barat Khamis lalu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada hari sama.

“Operasi SAR yang membabitkan 43 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan sebaik menerima laporan mengenai kehilangan pendaki tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mayat mangsa kemudian dibawa turun oleh pasukan penyelamat menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 3 petang semalam selepas keadaan cuaca kembali mengizinkan.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh hipotermia (kesejukan melampau),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mustaqqeem bersama 10 lagi pendaki memulakan pendakian mereka pada 10 Oktober di Bukit Fraser dan dijadualkan menamatkan ekspedisi mereka di Gunung Liang.

Mustaqqeem kali terakhir dilihat berada di puncak Gunung Liang Barat bersama seorang lagi individu pada jam 10.30 malam, 14 Oktober.

Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan dilihat berjalan dengan perlahan sebelum dilaporkan hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button