BERITA SEMASA

Pendaki wanita berpengalaman hilang ketika daki Gunung Batu Putih

TAPAH – Seorang wanita yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam aktiviti pendakian dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi di Gunung Batu Putih, di sini.

Mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dikatakan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama beberapa rakan sebelum gagal dikesan semalam.

Suaminya, Haszman Othman, 61, berkata, isterinya sememangnya aktif menyertai aktiviti lasak dan mempunyai pengalaman luas mendaki gunung.

Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan, isterinya dijadualkan menyertai pendakian di gunung sama sekali lagi pada hujung bulan ini.

“Isteri saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan bertolak dari rumah kami di Damansara, Selangor pada Jumaat lalu bersama dua rakannya untuk menyertai ekspedisi itu.

“Dua rakannya sudah selamat turun dan pulang ke rumah masing-masing, namun isteri saya masih belum ditemukan dan operasi mencari sedang giat dijalankan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh hari ini.

Jaslinda dilaporkan menyertai kumpulan pendakian membabitkan 13 peserta bersama dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang memulakan perjalanan pada pukul 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dipercayai mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat sebelum wanita itu dikatakan meneruskan perjalanan ke puncak gunung.

Mangsa kali terakhir dilihat oleh MGP kira-kira pukul 7.30 pagi semalam sebelum disedari hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button