BERITA SEMASADALAM NEGERI

Rakan nafikan dakwaan tinggal Mustaqqeem di Gunung Liang

TANJUNG MALIM – Rakan kepada pendaki yang maut di Gunung Liang, Allahyarham Mustaqqeem Mansor, menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya kumpulan mereka meninggalkan mangsa bersendirian di puncak gunung.

Menurut Muhammad Hafidz Mohd Kamal, 36, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana mereka tidak mengetahui keadaan arwah semakin teruk ketika pendakian dijalankan.

Katanya, Mustaqqeem bergerak perlahan bersama seorang malim gunung (sweeper), dan hanya disedari tiada selepas semua peserta ekspedisi selamat tiba di kaki gunung pada pagi Rabu.

“Apabila saya berjumpa dengan sweeper, saya bertanya di mana Mustaqqeem. Dia maklumkan arwah dalam keadaan baik dan masih berusaha untuk turun.

“Kali terakhir dia nampak arwah adalah kira-kira pukul 10.30 malam Isnin di puncak Gunung Liang,” katanya di Unit Forensik Hospital Slim River, semalam.

Baca juga : Mustaqqeem meninggal dunia akibat hipotermia

Mangsa ditemukan tidak bernyawa di puncak Gunung Liang Barat pada Khamis lalu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada hari sama.

Mayatnya kemudian dibawa turun menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 3 petang semalam, sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lahar Tabut, Masjid Jamek Nurussaadah, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafidz berkata, dia bersama seorang lagi rakan yang masih keletihan dan cedera mengambil inisiatif sendiri untuk menjejaki laluan yang berkemungkinan dilalui arwah selepas bimbang dengan keselamatan Mustaqqeem.

“Kami naik semula ke beberapa hentian termasuk Kem 7E dan Lubuk Hantu. Kami mendaki hampir empat jam sambil menjerit memanggil nama Mustaqqeem, namun tidak menerima sebarang sahutan.

“Saya kemudian menghubungi isteri arwah untuk memaklumkan keadaan sebenar sebelum laporan polis dibuat,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial, namun tetap mengambil tanggungjawab penuh sebagai rakan baik arwah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button