Jasad Mustaqqeem selamat dibawa turun
SUBANG – Operasi membawa turun jasad pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim, akhirnya berjaya dilaksanakan petang tadi selepas tertangguh beberapa jam akibat cuaca buruk.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Roslan Aziz berkata, jasad mangsa dibawa turun menggunakan helikopter bomba dari ketinggian 1,859 meter pada kira-kira jam 2.45 petang.

Menurut beliau, operasi berkenaan sepatutnya bermula seawal jam 8.30 pagi namun tidak dapat diteruskan kerana keadaan awan tebal yang menjejaskan keselamatan penerbangan.
“Apabila cuaca kembali baik selepas jam 2 petang, helikopter dapat melakukan penerbangan ke lokasi dan pasukan kami segera melaksanakan operasi winching bagi membawa turun mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai enam anggota Bahagian Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, terlibat dalam operasi berkenaan.
Menurut Roslan, jenazah Mustaqqeem kemudiannya dibawa ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Slim River untuk proses bedah siasat.
Difahamkan, Mustaqqeem bersama 10 rakannya memulakan pendakian dari Bentong, Pahang, pada 10 Oktober lalu.
Namun, beliau dilaporkan tidak pulang selepas tamat aktiviti mendaki, menyebabkan isterinya membuat laporan polis.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan semalam melibatkan JBPM, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pasukan penyelamat akhirnya menemukan jasad mangsa di puncak Gunung Liang kira-kira jam 3.30 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








