BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pengorbanan belum cukup, Freedom Flotilla ke Gaza perlu diteruskan – Dr Fauziah

SEPANG – Pengorbanan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) disifatkan masih belum mencukupi, justeru tekanan terhadap rejim Israel mesti diteruskan sehingga Gaza benar-benar dibebaskan.

Peserta misi, Dr Fauziah Mohd Hassan berkata, pembelian kapal, makanan dan ubat-ubatan yang akhirnya dirampas Israel tidak sepatutnya dianggap kerugian kerana setiap perjuangan menuntut masa dan pengorbanan.

“Kita jangan kata rugi beli kapal, beli makanan, ubat-ubatan dan semuanya dirampas Israel. Kita tahu setiap perjuangan memerlukan masa serta pengorbanan.

“Freedom Flotilla baru berusia 15 tahun dengan 36 kapal telah dilayarkan. Mungkin pengorbanan itu belum cukup tetapi tekanan ini mesti diteruskan sehingga Gaza benar-benar dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan aktivis FFC x TTMG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Dr Fauziah mendedahkan, layanan yang diterima daripada tentera Israel dalam misi kali ini jauh lebih kasar berbanding tahun 2016.

“Tahun 2016, mereka cuba menunjukkan kepada dunia bahawa mereka baik, tidak memakai penutup muka dan melayan kami seperti nenek-nenek dengan senjata hanya tersarung di pinggang.

“Kali ini memang kasar, tiada belas kasihan. Namun, apa yang kami lalui ini tidak seberapa berbanding penderitaan rakyat Gaza. Jangan fokus pada apa yang kami alami tetapi lihatlah apa yang dilalui rakyat Palestin,” katanya.

Israel
Sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) selamat tiba di KLIA. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Terdahulu, pesawat membawa sembilan sukarelawan Malaysia itu mendarat di KLIA kira-kira pukul 3.55 petang, sebelum keluar melalui balai ketibaan utama pada 5 petang sambil disambut dengan laungan solidariti oleh ahli keluarga dan rakyat Malaysia.

Turut hadir menyambut ketibaan wira dan wirawati negara itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan.

Sembilan delegasi Malaysia terbabit ialah Dr Alauddin, Dr Fauziah, Dr Maziah Muhammad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, dan wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button