Rakyat Malaysia akan jalani hukuman gantung di Singapura Khamis ini
KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia, K. Datchinamurthy, 39, yang pernah mendapat penangguhan hukuman pada 2022 akan menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura pada Khamis ini.
Datchinamurthy ditahan pada 2011 kerana memiliki dan mengedar sebanyak 44.96 gram diamorfin sebelum dijatuhi hukuman gantung oleh mahkamah republik itu pada 2015.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan pada 2022 selepas Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan permohonan beliau untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan.
Aktivis dan bekas peguam Singapura, M. Ravi berkata, beliau menerima notis rasmi berhubung pelaksanaan hukuman itu sebelum berkongsi perkara berkenaan di laman Facebook.
Katanya, perkembangan ini memberi kesan mendalam kepada keluarga yang terpaksa membuat persiapan terakhir meskipun anak mereka masih hidup.
“Inilah hakikat hukuman mati, keluarga perlu menghitung masa, menunggu di luar Penjara Changi dan bersedia menerima jenazah,” katanya lagi.
Ravi turut berkata, kes itu pernah menimbulkan kontroversi apabila mahkamah memutuskan pihak penjara bertindak salah menyerahkan surat sulit Datchinamurthy kepada Pejabat Peguam Negara.
Awal bulan ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan terhadap kes Datchinamurthy selain tiga lagi rakyat Malaysia yang berdepan hukuman sama iaitu P. Pannir Selvam, S. Saminathan dan R. Lingkesvaran, dengan menggesa kerajaan Malaysia menggunakan segala saluran diplomatik dan perundangan yang ada bagi menyelamatkan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








