Tang Jie-Ee Wei tarik diri Terbuka Korea 2025 akibat kecederaan
KUALA LUMPUR – Harapan peminat badminton tanah air untuk menyaksikan aksi beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2025 tidak kesampaian apabila pasangan itu terpaksa menarik diri pada saat akhir.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan semalam memaklumkan, Ee Wei mengalami kecederaan pada bahagian kanan badan dan perlu menjalani penilaian lanjut sebaik sahaja pulang ke tanah air.
“Ee Wei mengalami kecederaan pada bahagian kanan badannya (right-side core injury) dan akan menjalani penilaian lanjut selepas tiba di Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Pasangan yang baru menjuarai Kejohanan Dunia tersebut terpaksa menarik diri selepas Ee Wei dilihat masih bergelut dengan kecederaan yang sama ketika aksi China Masters 2025 pada Ahad lalu.
Dalam perlawanan itu, Tang Jie-Ee Wei tewas kepada beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dengan keputusan straight set, 8-21, 17-21.
Selain pasangan itu, beberapa pemain utama negara turut mengambil keputusan untuk tidak beraksi dalam kejohanan bertaraf Super 500 tersebut.
Antaranya termasuk beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta gandingan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














