Inkues Zara Qairina: Pegawai forensik HQE tolak dakwaan tidak pernah bertemu ibu mangsa
KOTA KINABALU – Pegawai Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha menafikan dakwaan beliau tidak pernah bertemu dengan ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi menjelaskan proses bedah siasat, 17 Julai lalu.
Saksi ketujuh dalam inkues berkenaan membuat penafian pagi tadi selepas peguam mewakili ibu Allahyarham, Rizwandean M Borhan, mendakwa bahawa ibu Zara, Noraidah Lamat, tidak pernah bertemu dengannya.
Terdahulu, Dr Logaraj memberi keterangan bahawa beliau telah bertemu Noraidah dan seorang lagi ahli keluarga, Nur Shira Abdullah, di Jabatan Perubatan Forensik HQE pada hari berkenaan.
Soalan Rizwandean pada awalnya dibantah oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, namun Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan Dr Logaraj menjawab.
Rizwandean kemudian menegaskan bahawa Noraidah telah mengarahkan beliau untuk menekankan bahawa dirinya tidak pernah dimaklumkan mengenai kepentingan bedah siasat terhadap jenazah Zara.
Rizwandean: Saya telah diarahkan oleh Noraidah bahawa doktor tidak pernah bertemu dengannya. Apa jawapan doktor?
Dr Logaraj: Saya tidak setuju. Saya telah bertemu Noraidah dan saksi keluarganya, Nur Shira, pada petang itu di Jabatan Perubatan Forensik HQE.
Rizwandean: Saya juga diarahkan oleh Noraidah bahawa doktor tidak pernah menerangkan kepadanya, di hadapan Nur Shira, mengenai keperluan dan kepentingan bedah siasat. Apa jawapan doktor?
Dr Logaraj: Saya tidak setuju. Saya telah memberi penjelasan lengkap kepada Noraidah dan Nur Shira pada petang itu, dan mereka menandatangani borang selepas memahami penjelasan saya.
Terdahulu, dalam kenyataan saksi, Dr Logaraj memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau telah bertemu ibu Zara serta kakak iparnya, Nur Shira, pada petang 17 Julai.
Dalam pertemuan itu, beliau memaklumkan kepada Noraidah bahawa pihak polis tidak mengeluarkan Borang Pol. 61, iaitu borang rasmi permohonan bedah siasat, sebelum cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian Zara.
Beliau turut menerangkan kepada Noraidah, dengan disaksikan Nur Shira, mengenai keperluan dan kepentingan menjalankan bedah siasat.
Menurutnya, Noraidah juga dimaklumkan bahawa walaupun Borang Pol. 61 tidak dikeluarkan oleh polis, bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan dengan persetujuan waris terdekat.
Namun, katanya, Noraidah selaku waris terdekat kepada Zara tetap menolak prosedur tersebut walaupun selepas penjelasan diberikan.
Sementara itu, Rizwandean turut bertanya sama ada Dr Logaraj mengetahui bahawa ibu Zara telah membuat laporan polis berhubung kematian anaknya pada pagi 17 Julai.
Rizwandean: Adakah doktor tahu jika Noraidah membuat laporan polis pada pagi 17 Julai?
Dr Logaraj: Ya, saya tahu, tetapi pada masa itu Noraidah tidak mahu memberikan laporan tersebut kepada pihak kami di unit forensik.
Rizwandean: Bagaimana doktor tahu?
Dr Logaraj: Beliau (Noraidah) sendiri memberitahu saya.
Rizwandean: Adakah doktor meminta salinan laporan itu?
Dr Logaraj: Ya, tetapi beliau enggan memberikannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








