BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ribut petir, hujan lebat landa 7 negeri, amaran laut bergelora dikeluarkan

KUALA LUMPUR – Tujuh negeri dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga tengah hari ini, menurut amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, beberapa daerah di Perak termasuk Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar serta Manjung, manakala di Johor melibatkan kawasan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Di Sabah pula, amaran cuaca buruk membabitkan kawasan pedalaman iaitu Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain daerah Pantai Barat meliputi Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran serta Kota Belud, termasuk Labuan.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama turut dikeluarkan di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga jam 1 tengah hari ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang mencapai 50 kilometer sejam (km/j) dan ombak setinggi 3.5 meter yang berbahaya kepada bot kecil,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, laporan media memaklumkan beberapa negeri kini dilanda banjir, termasuk Sabah dengan seramai 415 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) setakat jam 8 pagi tadi.

Di Selangor, hujan lebat berterusan sejak lewat malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat apabila Sungai Langat melimpah ke jalan utama sekitar jam 4.30 pagi, sebelum air memasuki kediaman penduduk.

Bagi sektor perkapalan, amaran angin kencang barat dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Phuket, utara Reef North dan Palawan bermula esok hingga Sabtu.

“Situasi ini berbahaya untuk bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan air,” tegas MetMalaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button