BERITA SEMASADALAM NEGERI

Malaysia dijangka alami La Nina singkat awal tahun depan

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026 sebelum keadaan cuaca kembali ke paras neutral tidak lama selepas itu.

Menurut Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tinjauan cuaca jangka panjang September 2025 hingga Februari 2026 mendapati kebanyakan model iklim antarabangsa meramalkan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) berada pada tahap neutral dengan kebarangkalian 56 peratus sehingga Oktober ini.

“Berdasarkan konsensus model iklim, fenomena global seperti ENSO, Madden Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) turut dirujuk. Data terkini menunjukkan Indeks Nino Lautan (ONI) di kawasan Nino 3.4 bagi Mei, Jun dan Julai 2025 ialah -0.1 darjah Celcius,” jelas kenyataan itu.

Fenomena La Nina yang dijangka berlaku dalam tempoh singkat itu berpotensi mempengaruhi corak taburan hujan di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Buat masa ini, negara masih berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan hingga penghujung bulan ini.

“Tiupan angin barat daya menyebabkan kelembapan udara rendah, sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di kebanyakan negeri.

“Kesan cuaca kering ini membawa kepada lebih banyak hari tanpa hujan, dengan risiko jerebu setempat dan rentas sempadan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal,” katanya.

Namun, MetMalaysia menegaskan ancaman ribut petir dan angin kencang tetap ada, khususnya di barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.

MetMalaysia memaklumkan ribut petir lazimnya berlaku pada awal pagi akibat fenomena garis badai, iaitu barisan ribut petir yang terbentuk hasil penumpuan angin dan boleh berlarutan beberapa jam.

Analisis model ramalan terkini turut menunjukkan angin baratan kencang dijangka bertiup dari 22 hingga 25 September 2025, berpotensi mencetuskan hujan lebat dan angin kuat terutama di utara Sarawak, barat Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button