Malaysia perkasa peralihan tenaga nuklear melalui NLET 2025
PUTRAJAYA – Malaysia terus mengukuhkan peranan sebagai peneraju serantau dalam pembangunan tenaga rendah karbon apabila menjadi tuan rumah kepada program Nuclear Leaders for Energy Transition (NLET) 2025.
Menurut Agensi Nuklear Malaysia, acara yang bermula hari ini hingga 14 September itu
dilaksanakan di bawah kerangka Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang diterajui Kementerian Luar Negeri.
“Sejak 1980, MTCP memberi manfaat kepada lebih 38,000 peserta dari 144 negara dalam bidang tadbir urus, sains, teknologi dan pembangunan mampan,” kata Agensi Nuklear Malaysia yang juga penganjur acara berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, NLET 2025 menghimpunkan 25 peserta dari 17 negara melibatkan penggubal dasar, jurutera dan penyelidik yang berpeluang mengikuti syarahan pakar daripada pelbagai agensi.
“Agensi terlibat termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Jabatan Tenaga Atom (ATOM Malaysia), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),” katanya.
Baca juga : Buku baharu Agensi Nuklear dedah potensi teknologi nuklear dalam pertanian
Antara pengisian penting ialah projek integrasi dasar selama dua hari bagi membangunkan cadangan peralihan tenaga mengikut keperluan negara masing-masing.
Turut diadakan, lawatan teknikal ke reaktor penyelidikan nuklear, loji tenaga solar, janakuasa arang batu dan gas asli serta fasiliti pengurusan sisa radioaktif.
Menurut Agensi Nuklear Malaysia lagi,
penganjuran NLET 2025 mencerminkan tekad Malaysia menyokong agenda global ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“NLET 2025 juga mampu memperkukuh kedudukannya sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) IAEA dalam bidang keselamatan dan sekuriti nuklear,” katanya.
Agensi Nuklear Malaysia menambah, NLET 2025 dijangka menjadi pemangkin pembangunan dasar, jaringan profesional dan pelaksanaan teknologi tenaga baharu yang lebih lestari dan inklusif di peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






