BERITA SEMASALUAR NEGARA

Prabowo batalkan lawatan ke China, tumpu krisis dalam negara

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, terpaksa membatalkan lawatan rasmi ke China berikutan gelombang protes yang semakin merebak di beberapa bandar utama di seluruh negara.

Jurucakap presiden, Prasetyo Hadi, menjelaskan keputusan itu dibuat supaya Prabowo dapat memberi tumpuan penuh terhadap krisis keselamatan yang sedang berlaku, termasuk mengetuai usaha mencari penyelesaian.

“Dengan penuh rasa hormat dan permohonan maaf kepada kerajaan China, Presiden Prabowo memaklumkan beliau tidak dapat memenuhi jemputan tersebut,” katanya dalam kenyataan video, Sabtu.

Prabowo pada asalnya dijadual menyertai perarakan ‘Hari Kemenangan’ di Beijing pada 3 September sempena ulang tahun ke-80 tamat Perang Dunia Kedua, selain menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) bersama lebih 20 pemimpin dunia.

Namun, situasi dalam negara itu menjadi semakin tegang selepas seorang pemandu Ojek, Affan Kurniawan, maut dirempuh kenderaan polis ketika demonstrasi di Jakarta.

Tragedi itu mencetuskan kemarahan rakyat dan mencetuskan siri protes besar yang merebak ke Makassar, Solo, Malang dan Cirebon sehingga menyebabkan beberapa bangunan awam dibakar serta balai polis diserang.

Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terkorban, termasuk tiga mangsa kebakaran di bangunan Parlimen wilayah Makassar.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button