BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

Kerjasama strategik ASEAN, GCC dan China: Pemacu baharu geopolitik, ekonomi serantau

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 yang melabuhkan tirai semalam menandakan permulaan era baharu dalam diplomasi antara wilayah, apabila memperkukuhkan peranannya sebagai penghubung strategik antara Asia Tenggara, negara-negara Teluk dan China.

Melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, Malaysia sebagai tuan rumah telah mengangkat agenda integrasi ekonomi tiga hala melalui usaha dan kerjasama infrastruktur serta pembangunan mampan merentas tiga blok ekonomi utama.

Gabungan ketiga-tiga entiti iaitu ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China kini mewakili gabungan KDNK global melebihi RM112 trilion (USD24 trilion) dan populasi seramai 2.15 bilion, menjadikan kerjasama ini sebagai satu kuasa penentu baharu dalam landskap geopolitik dan ekonomi global.

Menurut pensyarah di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam, persidangan itu menyaksikan komitmen bersama negara-negara anggota membina rantaian ekonomi berdaya tahan, meningkatkan pelaburan strategik dan memperkukuh ketersambungan digital serta infrastruktur hijau serantau.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri telah memainkan peranan penting dalam merangka keutamaan dengan menekankan peralihan ASEAN daripada blok yang bertindak balas kepada blok yang lebih proaktif dalam menangani ketidakseimbangan serantau.

Kata beliau, kepimpinan Perdana Menteri juga menjadi tunjang kepada hasil persidangan yang berteraskan nilai autonomi, keterangkuman dan pertumbuhan mampan.

Selain itu Dr. Mohd Mizan berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 merupakan platform strategik yang menghimpunkan pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam membincangkan isu berkepentingan bersama.

Katanya, GCC dengan jumlah perdagangan bernilai RM614.3 bilion (USD130.7 bilion) merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar ASEAN.

“Dari segi pelaburan pula, GCC telah menyumbang sebanyak RM1.83 bilion (USD390.2 juta) kepada ASEAN, sekaligus mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat serta potensi besar yang belum diterokai untuk kerjasama ekonomi yang lebih hebat,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Selain itu kata beliau, Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan turut memainkan peranan penting dalam merangka semula diplomasi ASEAN-GCC melalui dialog tertumpu dan libat urus dua hala.

“Malaysia telah merundingkan komitmen utama termasuk kepelbagaian kerjasama tenaga (contohnya, pelaburan hidrogen hijau); pelaburan bersama dalam industri halal dan penubuhan platform perkongsian ilmu ASEAN-GCC dalam bidang pembandaran mampan,” katanya.

Justerunya, penganjuran sidang kemuncak itu mencerminkan aspirasi kepimpinan Malaysia dalam ASEAN melalui pendekatan proaktif dalam menarik minat berterusan dari negara-negara Teluk untuk projek-projek jangka panjang berimpak tinggi.

Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pula merupakan inisiatif baharu yang dipelopori Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada kali ini.

Katanya, persidangan itu memberi peluang kepada negara-negara anggota meneroka peluang kerjasama tiga hala yang unik dalam bidang ekonomi dan pelaburan.

“Memandangkan pertumbuhan pesat ekonomi ASEAN yang mencapai KDNK sebanyak RM17.86 trilion (USD3.8 trilion) pada tahun 2023, rantau ini kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia.

“Pada masa yang sama juga, China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN, dengan jumlah perdagangan mencecah RM3.27 trilion (USD696.7 bilion),” katanya.

Justeru, beliau yakin gabungan KDNK sebanyak RM117.89 trilion (USD24.87 trilion) dan populasi seramai 2.15 bilion mampu menghasilkan pakatan tiga hala yang tiada tandingannya.

Mengakhiri kenyataannya, Dr. Mohd Mizan berkata, hasil daripada kesemua sidang yang telah diadakan dan tindakan susulan yang akan diambil bukan sahaja penting dalam menentukan halatuju ASEAN bahkan kedudukan Asia dalam abad ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button