Keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 terjamin – Anwar
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa keselamatan semua pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini, berada pada tahap tertinggi.
Anwar berkata, semua agensi keselamatan negara sudah diarah melaksanakan kawalan rapi dan menyeluruh bagi memastikan keselamatan setiap delegasi serta kelancaran perjalanan sidang tersebut.
“Isu keselamatan menjadi keutamaan kerana semua pemimpin dunia akan berada di sini (Malaysia) untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Semua pemimpin dan delegasi dijamin keselamatan sepenuhnya,” katanya pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan yang dijangka diadakan hujung minggu ini oleh beberapa kumpulan aktivis dan parti politik bagi membantah kehadiran Trump ke negara ini.
Anwar turut berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan pendirian selagi ia dilakukan secara aman serta mematuhi undang-undang.
“Malaysia kekal terbuka terhadap pandangan berbeza, namun menolak sebarang tindakan ekstrem yang boleh menjejaskan imej negara.
“Kalau ada yang mahu menyatakan pandangan, itu hak mereka, tetapi kita tidak boleh membenarkan ada pihak yang cuba mensabotaj atau mengganggu perjalanan sidang kemuncak ini,” katanya lagi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini menjadi kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025, dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.
Sebelum itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa kawalan keselamatan di sekitar ibu negara akan dipertingkat termasuk pemantauan terhadap ancaman ekstremisme dan pengganas sepanjang sidang berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















