Inkues Zara Qairina bermula bulan depan, 195 saksi akan dipanggil
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini menetapkan pendengaran inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Allahyarham Zara Qairina, diadakan bermula 3 hingga 4 September depan, diikuti 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan, hari ini.
Prosiding sebutan inkues itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pegawai pengendali diketuai Mohd Fairus Johari daripada AGC Putrajaya.
Beliau dibantu tiga TPR daripada AGC Sabah iaitu Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.
Ketika prosiding, Mohd Fairus memberitahu Mahkamah Koroner seramai 195 saksi dikenal pasti untuk inkues berkenaan.
Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina akan memohon kepada Koroner Azreena Aziz untuk menjadi ‘interested party’ atau pihak yang boleh menyoal ketika sesi inkues kes kematian pelajar itu diadakan bermula 3 September depan.
Hamid Ismail berkata, beliau dibantu lima rakan guamannya termasuk Shahlan Jufri akan memohon perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu ini.
“Kami sudah memohon kepada Koroner untuk menjadi pihak yang menyoal bagi membantu pendakwaan, tetapi kami diarahkan untuk membuat permohonan secara rasmi. Jadi, kami akan mengemukakan permohonan itu pada minggu ini.
“Sabah Law Society pula bertindak sebagai peguam pemerhati dan buat masa ini status kami juga adalah peguam pemerhati, tetapi apabila permohonan diluluskan, status kami berubah kepada interested party (pihak yang ada kepentingan langsung dalam prosiding dan mengambil bahagian aktif dalam proses mahkamah),” katanya selepas prosiding berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








