BERITA SEMASALUAR NEGARA

Jutawan USA maut diserang kerbau ketika berburu di Afrika

POLOKWANE (AFRIKA SELATAN) – Seorang pemburu sukan yang juga jutawan dari Amerika Syarikat maut selepas diserang seekor kerbau liar ketika memburu di wilayah Limpopo 3 Ogos lalu.

Mangsa, Asher Watkins, 52, dari Texas, maut selepas diserang kerbau Cape seberat 1.3 tan ketika sedang memburu bersama seorang lagi pemburu profesional dan penjejak.

Menurut syarikat penganjur, Coenraad Vermaak Safaris (CV Safaris), serangan kerbau yang berlari ke arah mangsa dengan kelajuan kira-kira 50 kilometer sejam itu berlaku secara mengejut tanpa sebarang provokasi.

“Dengan hati yang berat, kami mengesahkan kematian tragis rakan dan pelanggan kami, Asher Watkins. Ini satu kejadian yang amat menyedihkan dan takziah kami ucapkan kepada keluarganya,” kata kenyataan CV Safaris yang dipetik media antarabangsa.

Ketika kejadian, ibu, bapa tiri dan abangnya sedang menunggu di sebuah pondok safari manakala syarikat itu turut memaklumkan sedang berhubung dengan anak perempuan serta bekas isterinya di Amerika Syarikat.

Bekas isterinya turut mengesahkan kejadian di media sosial, menyifatkan kematian Watkins sebagai “satu kehilangan yang sukar diungkap dengan kata-kata”.

Asher Watkins, 52, dari Texas, maut selepas diserang kerbau Cape seberat 1.3 tan ketika sedang memburu

Laman web CV Safaris sebelum ini mengingatkan bahaya memburu kerbau Cape yang digelar sebagai spesies paling berbahaya di dunia, dengan rekod menyebabkan banyak kematian dan kecederaan kepada pemburu setiap tahun.

Watkins, lulusan Universiti Baylor dan rakan pengurus Watkins Ranch Group, dikenali sebagai seorang bapa penyayang yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya di ladang dan alam terbuka.

Akaun Facebook miliknya turut memaparkan gambar-gambar perburuan bersama pelbagai jenis haiwan termasuk rusa dan singa gunung.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button