JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak perempuan ditemukan maut dalam kolam air buangan berhampiran rumah

TELUK INTAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan maut dalam kolam air buangan berhampiran kediaman keluarganya di Simpang Empat, Permatang Pelandok, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asistan Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.24 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan sekitar pukul 7 malam pada hari sama.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kolam dengan kedalaman kira-kira 1.2 meter itu tidak mempunyai sebarang ciri keselamatan seperti penghadang atau penutup.

Tambahnya, ketika kejadian, ahli keluarga mangsa dipercayai sedang mengemas rumah selepas satu majlis sebelum menyedari kehilangan kanak-kanak tersebut.

“Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan, namun siasatan lanjut masih diteruskan termasuk menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button