BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pelancong Malaysia ke Rusia bertambah dua kali ganda

MOSCOW – Bilangan pelancong Malaysia ke Rusia mencatat peningkatan dua kali ganda pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia, Maksim Reshetnikov seperti dipetik agensi berita TASS.

“Pelancong Malaysia kini lebih kerap mengunjungi Rusia. Pada suku pertama 2025, aliran pelancong meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media kementeriannya yang dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasil pertemuan rasmi antara Presiden Vladimir Putin dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim.

Menurut kementeriannya, jumlah pelancong Rusia ke Malaysia turut meningkat, melebihi paras pra-pandemik Covid-19 sebanyak 64 peratus pada 2024 berbanding 2019.

Bermula Julai 2025, tempoh sah e-visa ke Rusia dilanjutkan daripada 60 kepada 120 hari, manakala tempoh tinggal dibenarkan meningkat daripada 16 kepada 30 hari, dengan kira-kira 5,000 individu telah memanfaatkan kemudahan tersebut.

Reshetnikov turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia menjadi kumpulan pelancong asing pertama yang menggunakan mekanisme pembayaran baharu Rusia melalui “kad pelancong”, yang membolehkan mereka membuat bayaran untuk penginapan, pengangkutan, lawatan muzium dan perbelanjaan lain dengan tambah nilai secara dalam talian.

Gambar hiasan

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button