Karnival Belia Madani meriah, cetus semangat perpaduan
SEPANG – Penyertaan pelbagai kaum dalam Karnival Belia Madani Aktif anjuran Penggerak Belia Selangor (PEBS) di Pinggiran Sepang hari ini membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda terus subur dan perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim berkata, program yang mendapat sokongan agensi kerajaan termasuk Majlis Sukan Negara itu turut menerima sambutan menggalakkan daripada golongan belia tempatan.
“Penyertaan kali ini sangat memberangsangkan merentasi kaum dan belia Melayu, Cina dan India bersama-sama menyertai aktiviti yang dijalankan. Ini indikator jelas bahawa semangat perpaduan masih kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kegiatan seperti ini harus diteruskan sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan hubungan antara kaum, terutamanya di kawasan seperti Sepang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk e-sukan, futsal, bola jaring dan push bike yang berjaya menarik kehadiran ramai anak muda serta kanak-kanak.
Katanya, tanggapan bahawa belia tidak berminat menyertai aktiviti luar adalah tidak benar kerana sambutan yang diterima membuktikan sebaliknya.
“Kita akui ada cabaran seperti pengaruh teknologi dan kecenderungan anak muda untuk duduk di rumah, tetapi jika kita anjurkan program yang sesuai dengan promosi yang berkesan, mereka pasti akan keluar menyertainya.
“PEBS telah menunjukkan contoh bagaimana penganjuran yang tersusun mampu menarik perhatian anak muda untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama-sama,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PEBS dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran program tersebut yang disifatkannya sebagai satu usaha murni membina masyarakat lebih bersatu dan aktif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







