PMX

Perjanjian maritim Malaysia-Indonesia babitkan blok Ambalat belum selesai – PM

NILAI –  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan ada menandatangani perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat.

Menurut Anwar, dakwaan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi kawasan tersebut adalah satu fitnah dan tidak benar.

“Ada yang belum selesai (dimeterai) termasuk kawasan disebut Ambalat itu, tapi mereka ‘bingai’. Ambalat itu belum selesai (belum diputuskan). Kawasan di Sabah, Pulau Sebatik pun belum selesai.

“Saya katakan dengan Jokowi, kita tandatangan (perjanjian maritim) yang sudah selesai sahaja,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai di sini hari ini.

Yang Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tambah Anwar, perjanjian maritim yang ditandatangani beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

Jelasnya ia telah diperakui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Luar, Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Hidrografi Malaysia.

Sebelum ini, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dilapor menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan terperinci berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.

Saifuddin dilaporkan berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu Ambalat supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button