BUDI MADANI mula disalurkan hari ini – MOF
PUTRAJAYA – Bantuan tunai di bawah program BUDI MADANI mula disalurkan kepada penerima layak bermula hari ini, 7 Julai 2025, menurut pengumuman Kementerian Kewangan (MOF).
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi kementerian itu, pembayaran sebanyak RM200 diberikan kepada penerima yang layak, sama ada dikreditkan terus ke akaun bank berdaftar atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sekiranya tiada akaun.

Program bantuan itu melibatkan tiga kategori utama iaitu BUDI MySubsidi Diesel untuk pengangkutan darat, BUDI Agri-Komoditi bagi petani dan pekebun kecil, serta BUDI Individu yang menyasarkan pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia.
“Pembayaran akan dikreditkan ke akaun yang berdaftar dalam sistem BUDI Individu atau secara tunai di mana-mana Cawangan BSN sekiranya tiada akaun bank,” kata MOF dalam kenyataan berasingan.
Bagi permohonan di bawah kategori BUDI Individu, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat kelayakan seperti merupakan warganegara Malaysia dengan jumlah pendapatan tahunan individu atau pasangan tidak melebihi RM100,000.
Selain itu, kenderaan yang dimiliki mestilah menggunakan diesel bagi kegunaan persendirian, mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang masih aktif, serta didaftarkan atas nama pemohon dengan nombor MyKad di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kenderaan juga mesti diisytiharkan berada di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, beberapa kategori individu dan kenderaan tidak layak menerima bantuan ini, termasuk motosikal diesel, kenderaan milik syarikat atau pertubuhan, kenderaan mewah berusia kurang 10 tahun, kenderaan e-hailing, karavan, motorhome, van persiaran dan bas persiaran.
Menurut MOF, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut diberi kuasa untuk menyemak semula maklumat pendapatan pemohon dan berhak mengeluarkan notis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sekiranya diperlukan.
Orang ramai yang ingin memohon boleh berbuat demikian melalui portal rasmi BUDI MADANI dan dinasihatkan untuk menyemak syarat kelayakan sebelum membuat permohonan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







