Sistem transaksi SARA tergendala, MOF mohon maaf
PETALING JAYA – Kementerian Kewangan (MoF) bersama MyKasih memohon maaf kepada orang ramai susulan gangguan sistem transaksi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang berlaku hari ini.
Dalam kenyataan, MoF menjelaskan pengguna masih boleh melakukan pembelian, namun sebahagian premis berdepan kesukaran memproses transaksi berikutan jumlah penggunaan yang terlalu tinggi sempena hari pertama penyaluran bantuan tersebut.
“Susulan jumlah transaksi sangat tinggi sempena hari pertama penyaluran Penghargaan SARA, sistem terminal MyKasih mengalami kelewatan pemprosesan transaksi susulan lonjakan jumlah pembelian,” katanya.
Menurut MoF, pasukan teknikal MyKasih kini sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan dan sistem dijangka kembali normal dalam masa terdekat.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.
Bantuan itu boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan dalam 14 kategori produk terpilih.
Anwar berkata, inisiatif tersebut merupakan ikhtiar segera kerajaan bagi meringankan beban sara hidup rakyat di samping tanda penghargaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Program itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion dengan manfaat kepada lebih 22 juta penduduk di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















