BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

STR Fasa 1 2026 disalur bermula 20 Januari, peruntukan RM1.1 bilion

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 bermula 20 Januari ini, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), bantuan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada kategori kelayakan penerima.

Kementerian Kewangan – Gambar Hiasan

MOF memaklumkan, penyaluran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini telah disusun semula selaras usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan disampaikan secara lebih berkesan dan bersasar.

“Di bawah penambahbaikan ini, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.

“Pendekatan ini menjadikan SARA sebagai bantuan asas berterusan manakala STR berfungsi sebagai sokongan tambahan secara suku tahunan,” menurut kenyataan itu.

STR disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tanpa pasangan dengan pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah termasuk golongan miskin dan miskin tegar bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih teratur dan stabil khususnya ketika tempoh perbelanjaan tinggi seperti musim perayaan.

Sementara itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini mencecah RM15 bilion sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, kerangka Ekonomi MADANI menekankan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat agar keperluan asas dapat dipenuhi secara menyeluruh dan mampan.

“Apabila rakyat terbela dan kehidupan asas diperkukuh, ekonomi negara dapat dibina dengan lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun menerusi portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi mengurangkan risiko keciciran penerima yang layak.

Setiap permohonan akan melalui proses semakan dan pengesahan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk semakan pemilikan aset, status pekerjaan dan rekod menetap di luar negara.

MOF turut mengingatkan pemohon agar memberikan maklumat yang tepat dan benar kerana tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati berlaku pemalsuan maklumat.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap penipuan dan pautan palsu serta hanya merujuk portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button