ASEAN capai kesepakatan perkukuh pendidikan tinggi serantau
LANGKAWI – Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang berjaya mengetengahkan beberapa agenda penting yang dipersetujui bersama oleh negara-negara anggota.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata pelbagai perkara penting telah dicapai sepanjang mesyuarat tersebut, termasuk empat fokus utama yang dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan tinggi di peringkat ASEAN.
“Ia akan membuka lebih banyak ruang untuk pertukaran pelajar dan pensyarah antara institusi pendidikan tinggi di negara-negara ASEAN, sekali gus memperkukuh jaringan akademik dan pengalaman pembelajaran serantau,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu bulan lalu.
Menurut Zambry, Malaysia selaku tuan rumah telah mengusulkan penubuhan ASEAN GEM Platform yang disambut baik oleh negara-negara ASEAN.
Beliau berkata, platform itu bakal berperanan sebagai pusat pengumpulan dana biasiswa serantau bagi membiayai pengajian pelajar ASEAN.
“Melalui platform ini, kita akan mencari sumber kewangan secara kolektif dalam kalangan negara anggota untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak. Usaha ini diyakini dapat mengurangkan jurang akses kepada pendidikan tinggi,” jelasnya.
Selain itu, Zambry berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk merangka roadmap serta pelan kerja bagi menyelaras dasar pendidikan tinggi ASEAN.
Jelas beliau, bagi menjayakan inisiatif ini, sebuah Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) akan ditubuhkan dan diselaraskan oleh Sekretariat ASEAN di Jakarta.
“Melalui pelan ini, kita mahu mewujudkan satu ruang keseragaman dalam dasar pendidikan tinggi serantau, termasuk dari segi rujukan bersama dan gerak kerja yang selaras,” ujar Zambry.
Baca juga : Malaysia cadang tubuh sekretariat selaras kerjasama pendidikan tinggi ASEAN
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan satu lagi pencapaian penting mesyuarat kali ini ialah persetujuan untuk membangunkan sebuah sistem yang membolehkan graduan bergerak secara lebih bebas dalam pasaran pekerjaan di rantau ASEAN.
Beliau berkata, langkah itu akan memperkukuh pengiktirafan kelayakan dan kepakaran antara negara anggota.
“Ia membolehkan bakat-bakat terbaik dari universiti serantau menyumbang kepakaran di negara-negara ASEAN lain, seterusnya memperkukuh mobiliti tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Malaysia turut memperkenalkan Portal Global ASEAN, yang dibangunkan melalui kerjasama antara Institut Pendidikan Serantau ASEAN (IREA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Portal ini akan menjadi platform sehenti bagi kerjasama universiti, politeknik dan kolej komuniti di seluruh ASEAN.
“Platform ini bukan sahaja untuk akademik, malah akan membuka peluang pekerjaan dan penyelidikan rentas negara. Ia juga mencerminkan aspirasi kita untuk menjadikan ASEAN sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa,” jelas beliau.
Sementara itu, Zambry turut memaklumkan semua dapatan mesyuarat akan dibentangkan dalam Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN yang dijadual berlangsung Oktober ini, bagi mendapatkan pengesahan dan pelaksanaan pada peringkat tertinggi.
“Kita berharap segala resolusi yang dicapai ini akan diterima pakai oleh ketua-ketua negara ASEAN dan seterusnya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi serantau,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment