Nahas FRU: Penjawatan Allahyarham Konstabel Akmal Wafi disahkan, waris kini layak terima pencen
ALOR SETAR – Penjawatan Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar telah disahkan secara rasmi, sekali gus melayakkan waris menerima pencen bulanan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menziarahi waris keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu yang terkorban dalam kemalangan pada Mei lalu.
“Allahyarham Wafi sebenarnya baru sahaja memulakan langkah dalam dunia kepolisan dan masih dalam tempoh percubaan ketika kejadian berlaku.
“Saya maklumkan kepada keluarganya bahawa perkara ini telah saya bawa ke Suruhanjaya Pasukan Polis, dan Alhamdulillah, penjawatan Allahyarham telah disahkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.
Baca juga : Pemilik syarikat lori nahas dengan trak FRU dikenakan waran tangkap
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, lapan anggota FRU maut dalam nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Menurut Saifuddin, pengesahan itu amat penting agar ibu bapa Allahyarham layak menerima pencen bulanan sebagai waris, sekali gus memberi sedikit kelegaan serta bantuan berterusan kepada keluarga yang ditinggalkan.
Dalam kunjungan tersebut, Saifuddin turut meluangkan masa berbual bersama adik-adik Allahyarham dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka.
“Saya pesan kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh, kuatkan semangat dan terus membanggakan ibu bapa sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Allahyarham sebelum ini,” ujarnya.
Saifuddin turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham yang disifatkan sebagai besar kerana terkorban ketika menjalankan amanah serta tanggungjawab sebagai anggota keselamatan negara.
“Saya doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang beriman. Insya-Allah, pengorbanan beliau akan terus dikenang sebagai wira negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














