JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik syarikat lori nahas dengan trak FRU dikenakan waran tangkap

TELUK INTAN – Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap pemilik syarikat lori muatan batu yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bulan lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman selepas individu tersebut tidak hadir pada prosiding yang ditetapkan berlangsung hari ini.

Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan untuk waran tangkap.

Difahamkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menghantar saman kepada pemilik syarikat lori tersebut untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan di bawah Seksyen 57 dan 58 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

APAD dalam kenyataannya pada 30 Mei lalu memaklumkan, lesen pengendali syarikat lori muatan batu itu, Tashveen Trading, telah dibatalkan berkuat kuasa 29 Mei 2025.

Dengan pembatalan lesen pengendali berkenaan, syarikat tersebut tidak dibenarkan mengendalikan atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali itu.

Berdasarkan siasatan, syarikat itu didapati telah membawa muatan yang menyalahi jenis barang yang ditetapkan dalam permit kenderaan serta tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Syarikat yang sama juga didapati gagal mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), gagal memastikan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) berfungsi, dan telah tamat tempoh.

Dalam kemalangan pada 13 Mei lalu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam dan sedang menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan, bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil yang terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Akibat kemalangan itu, lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Nahas turut mengakibatkan sembilan anggota lain cedera, dengan sebahagiannya parah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button