Wanita ditemukan mati di ladang getah, teman lelaki dan anak antara suspek
SONGKHLA – Seorang wanita disahkan maut selepas ditemukan dengan kecederaan parah di kepala dalam kejadian di sebuah ladang getah di Saba Yoi, Songkhla, awal pagi semalam.
Mangsa, Prathum, 52, dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya, Boonhai, 51, bersama anak lelaki suspek, Chaiyaphruek, 26.
Menurut Ketua Polis Daerah Saba Yoi, mayat mangsa ditemukan terbaring berhampiran sebatang pokok getah kira-kira pukul 1 pagi, dengan dua kesan hentakan kuat di kepala akibat objek tumpul.
“Siasatan di lokasi kejadian menemui beberapa peralatan pertanian termasuk pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan.
“Penemuan mayat tersebut berpunca daripada tindakan anak mangsa, Pornthep, yang bergegas ke ladang selepas ibunya tidak pulang dan dimaklumkan telah keluar bersama dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Pornthep memaklumkan dia pada awalnya berniat untuk membantu ibunya di ladang selepas selesai mengasah pisau toreh.
“Namun, sebaik tiba di lokasi, saya didatangi oleh Boonhai dan anak lelakinya yang menghalang saya daripada masuk.
“Saya rasa tak sedap hati. Selepas berpatah balik, saya dapati mereka sudah tiada. Saya cari ibu dan temui dia terbaring tidak bernyawa,” jelasnya.
Pornthep mendedahkan ibunya pernah menyuarakan masalah dalam hubungan bersama Boonhai, termasuk pertelingkahan yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
“Ibu pernah luah rasa tak puas hati dengan sikap teman lelakinya. Tapi saya tak sangka sampai begini jadinya,” ujarnya.
Difahamkan, pasangan tersebut telah menjalinkan hubungan sejak tiga tahun lalu.
Boonhai bukan penduduk asal Songkhla tetapi telah menetap di daerah itu lebih 15 tahun, manakala anaknya dilaporkan baru muncul sekitar tiga bulan sebelum kejadian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian menunjukkan dua suspek meninggalkan kawasan tersebut menaiki motosikal Kawasaki berwarna hijau.
Susulan penemuan bukti yang kukuh, pihak polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas kedua-dua suspek di bawah tuduhan membunuh dengan sengaja mengikut undang-undang jenayah Thailand.
“Kedua-dua suspek kini dalam tahanan bagi membantu siasatan lanjut. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan pertuduhan rasmi akan diumumkan selepas dokumen lengkap,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








