BERITA SEMASA

Kor Ming ketuai delegasi Malaysia ke UN-Habitat, bertanding jawatan presiden

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akan mengetuai delegasi Malaysia ke ibu pejabat Program Pembangunan Sumber Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di Nairobi, Kenya, minggu depan.

Menurut Kor Ming, lawatan sempena Perhimpunan Agung UN-Habitat (UNHA) itu menandakan satu pencapaian penting bagi negara, yang kini sedang bertanding untuk jawatan presiden badan berkenaan.

“Jika dipilih, Malaysia akan memimpin badan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terdiri daripada 193 negara anggota bagi penggal 2026–2029,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : Pejabat UN-Habitat Malaysia kukuhkan Agenda Bandar Asia Pasifik

Perhimpunan Agung UN-Habitat merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam hal-hal urbanisasi mampan dan penempatan manusia dalam sistem PBB.

Perhimpunan ini diadakan setiap empat tahun untuk menetapkan isu-isu utama serta keutamaan dasar dalam kerja-kerja UN-Habitat.

Presiden seterusnya akan datang dari rantau Asia-Pasifik dan memegang jawatan tersebut selama empat tahun bermula 2026 hingga 2029.

Jika terpilih, ini akan menjadi kali pertama dalam tempoh 15 tahun seorang wakil Malaysia memimpin sebuah badan PBB, sejak Tan Sri Hamidon Ali menjawat jawatan Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) pada tahun 2010.

Tambah Kor Ming, jika Malaysia terpilih, ia bukan sahaja akan meningkatkan suara negara di pentas antarabangsa, malah membuka peluang untuk memimpin serta membentuk agenda pembangunan bandar lestari di peringkat global.

“Ini bukan sekadar satu penghormatan diplomatik tetapi juga peluang berharga untuk menunjukkan kemampuan kita dalam pembentukan dasar antarabangsa.

“Dengan memegang jawatan ini, kita bukan sahaja mewakili Malaysia tetapi juga memperkukuhkan komuniti global, bekerjasama untuk mencapai bandar yang lebih boleh didiami dan lebih disukai,” katanya.

Sebagai rekod, Tan Sri Razali Ismail pernah memegang jawatan Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dari tahun 1996 hingga 1997.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pernah memegang jawatan Presiden Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1988.

Menurut Kor Ming, Malaysia merancang untuk memberi fokus kepada beberapa keutamaan termasuk perumahan mampu milik, pembaharuan bandar, dan inisiatif sifar sisa sekiranya diberikan kepercayaan memegang jawatan presiden.

Selain itu, Kor Ming dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin dari Kenya, Mexico, Azerbaijan, China, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sepanjang lawatannya ke Nairobi.

Perbincangan tersebut akan tertumpu kepada pembangunan dan pengurusan bandar lestari dari perspektif sosial dan alam sekitar, dengan matlamat bersama untuk memastikan perlindungan tempat tinggal yang mencukupi untuk semua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button