BERITA SEMASA

Pejabat UN-Habitat Malaysia kukuhkan Agenda Bandar Asia Pasifik

KUALA LUMPUR – Penubuhan Pejabat Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di Kuala Lumpur dilihat sebagai pengiktirafan besar kepada Malaysia dalam memperkukuh Agenda Bandar Asia Pasifik (AP-UAP).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, proses mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukanlah satu tugas mudah.

“Pejabat itu ditubuhkan melalui URBANICE Malaysia, agensi di bawah KPKT, bagi membangunkan AP-UAP sebagai platform perkongsian pengetahuan dalam talian.

“Ia bertujuan memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pejabat UN-Habitat Malaysia dan AP-UAP di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Ketua Eksekutif URBANICE Malaysia, Norliza Hashim.

Kor Ming berkata, pejabat itu akan berfungsi sebagai hab serantau yang menghubungkan 58 negara kepada UN-Habitat serta rakan kongsinya.

“Ia juga menyediakan akses kepada pengetahuan, inovasi dan menyokong inisiatif kemampanan bandar di rantau Asia Pasifik.

“Pengurusan pejabat itu diselia oleh kementerian melalui URBANICE Malaysia dengan sokongan Sekretariat UN-Habitat,” katanya lagi.

Pejabat itu akan menghasilkan laporan melalui AP-UAP yang akan diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB di New York setiap empat tahun.

AP-UAP juga menjadi pusat pelaporan kemajuan pelaksanaan NUA, selain pusat sumber, perkongsian ilmu dan latihan untuk pembangunan projek mampan.

Kor ming turut berkata, setakat ini hanya 41 daripada 194 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan, telah menyediakan laporan kemajuan pelaksanaan NUA dan laporan suku tahunan ketiga akan dikeluarkan pada 2026.

“Majlis pelancaran itu adalah sebahagian daripada Jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT 2024,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button