Pelajar maut rempuh lori ketika pulang dari kelas memandu
KLANG – Seorang pelajar Tingkatan Lima maut dalam satu kemalangan tragis apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori yang sedang membuat pusingan U di Batu 12, Jalan Kapar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kelas memandu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kanan lori terbabit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.45 petang.
“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan dari arah Kapar telah membuat pusingan U di lokasi kejadian.
“Ketika itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.
Tambahnya lagi, mangsa mempunyai lesen memandu jenis L dan kejadian berlaku sewaktu dia dalam perjalanan pulang dari sebuah institut memandu di Klang.
“Hasil semakan mendapati lokasi kejadian hanya membenarkan kenderaan ringan melakukan pusingan U.
“Oleh itu, pemandu lori terbabit telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan,” jelasnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








