BERITA SEMASA

Ng Tze Yong tinggalkan BAM, fokus pemulihan sebelum kembali beraksi

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama mereka berkuat kuasa pada ini.

Menurut BAM, keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara kedua-dua pihak yang bersetuju bahawa langkah tersebut adalah yang terbaik untuk Tze Yong dalam merancang fasa seterusnya kerjaya profesionalnya.

“Tze Yong, 26, pernah mencapai ranking tertinggi kerjaya di kedudukan ke-14 dunia pada November 2023 dan mencatat beberapa pencapaian membanggakan bersama skuad kebangsaan.

“Antaranya meraih pingat perak perseorangan lelaki dan pingat emas berpasukan campuran pada Commonwealth Games 2022, selain membantu Malaysia memenangi emas pada Badminton Asia Team Championships 2022 serta meraih gangsa pada Sudirman Cup 2021 dan Sudirman Cup 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun menurut BAM, perkembangan kariernya dalam beberapa tahun kebelakangan ini terjejas akibat beberapa kecederaan serius, termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ligamen anterior lutut (ACL) pada 2025 yang memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan yang panjang.

Dalam pada itu Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz merakamkan penghargaan atas sumbangan Tze Yong sepanjang bersama badan induk badminton negara itu.

“Tze Yong merupakan anggota penting skuad kebangsaan dan telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Walaupun kecederaan mengganggu perkembangannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketabahan yang ditunjukkannya sepanjang proses pemulihan amat membanggakan.

“Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah jalan terbaik pada tahap kerjayanya ketika ini. Bagi pihak BAM, saya mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada badminton Malaysia dan mendoakan kesihatan yang baik serta kejayaan berterusan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Tze Yong turut menzahirkan penghargaan kepada BAM, jurulatih, kakitangan sokongan dan rakan sepasukan yang banyak membantunya sepanjang bersama skuad negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan selama ini. Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan besar dan saya amat menghargai semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan saya.

“Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik. Saya akan berehat seketika daripada pertandingan bagi memberi tumpuan kepada proses rehabilitasi sebelum kembali ke gelanggang, dan saya menantikan bab baharu dalam kerjaya saya,” katanya.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button