Kes rasuah RM1.25 bilion: Mahkamah Rayuan dengar permohonan Rosmah gugur hakim
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini dijadual mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang membicarakan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.
Mohamed Zaini merupakan hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu.
Mahkamah Rayuan sebelum ini dimaklumkan, jika rayuan Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini dibenarkan, perkembangannya membawa kesan besar kerana kes itu akan dibicarakan semula di hadapan hakim lain.
Rosmah mengemukakan permohonan untuk menyingkirkan hakim berkenaan, dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.
Pada prosiding 5 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Rosmah menangguhkan rayuan itu kerana beliau tidak sihat dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








