JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan kes saman barang kemas libatkan Rosmah Mansor ditetapkan 10 Jun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 10 Jun ini sebagai tarikh keputusan bagi kes saman berjumlah AS$14.57 juta (RM68.48 juta) yang difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barangan kemas.

Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh tersebut selepas prosiding pendengaran kes selesai hari ini, selain turut menetapkan 13 Mei bagi pemfailan hujahan bertulis dan 28 Mei untuk hujahan balas.

“Keputusan akan disampaikan pada jam 9 pagi secara dalam talian,” memetik Awani Online.

Terdahulu, saksi keenam pihak ketiga, Chong Tong Leong, dalam keterangannya memaklumkan beliau menjalankan kerja pengubahsuaian di sebuah unit kondominium di Pavilion Residences antara Mac hingga Mei 2018.

Beliau berkata, pada 14 Mei 2018, beliau menemui beberapa beg besar di dalam sebuah bilik unit berkenaan, sedangkan ia tidak berada di situ sebelum ini.

“Melihat keadaan itu, saya terus keluar dari unit berkenaan dan menghubungi pemilik sebelum diminta menghentikan kerja-kerja pengubahsuaian,” katanya lagi.

Tong Leong turut berkata, kerja pengubahsuaian bernilai kira-kira RM10,000 itu melibatkan pembaikan keseluruhan unit termasuk pemasangan pendingin hawa.

Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Amar Singh Ishar Singh, sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa puluhan bagasi berisi wang tunai dan barang kemas ditemui bertaburan di sebuah kondominium mewah di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.

Kes saman itu difailkan oleh syarikat berpangkalan di Beirut, Global Royalty Trading SAL, yang mendakwa sebanyak 44 barangan kemas diserahkan kepada Rosmah, namun sebahagian besar daripadanya didakwa hilang.

Syarikat berkenaan turut mendakwa hanya satu daripada barangan tersebut berada dalam simpanan pihak berkuasa, manakala selebihnya tidak dapat dikesan.

Perbicaraan kes berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lalu, melibatkan keterangan daripada pihak plaintif, defendan serta beberapa saksi pihak ketiga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button