JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki peminta sedekah maut ditikam

SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai peminta sedekah ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah selepas ditikam dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah bank di Seksyen 14, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan meminta sedekah antara mangsa berusia 40 tahun dengan suspek berusia 28 tahun.

“Siasatan awal mendapati suspek mahu meminta sedekah di kawasan sama, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek kemudian bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menikam dada mangsa beberapa kali, menyebabkan mangsa rebah dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak polis berjaya menahan suspek tidak lama selepas menerima maklumat berkaitan kejadian itu.

“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.

Permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat pagi ini bagi membantu siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 014-8905051.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button