Kes polis jatuh bangunan: Tiada unsur jenayah, orang ramai diminta hentikan spekulasi
SHAH ALAM – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden membabitkan seorang pegawai kanan polis yang maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Seksyen 14 di sini, awal pagi Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berlaku akibat kemalangan.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Sekiranya spekulasi itu tidak benar dan berbaur fitnah, insya-Allah laporan polis boleh dibuat dan tindakan siasatan akan dijalankan.
“Tindakan tegas juga akan diambil sekiranya terdapat komen atau spekulasi tidak benar yang boleh mengaibkan arwah serta keluarga beliau,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Media semalam melaporkan seorang pegawai kanan polis maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Seksyen 14, Shah Alam.
Shazeli dilaporkan berkata, pegawai lelaki berkenaan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
“Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.07 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







