Lelaki kerugian lebih RM330,000 terpedaya iklan pelaburan Facebook
KUCHING – Akibat terpedaya dengan iklan tawaran pelaburan di Facebook, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun kerugian lebih RM330,000 di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, kejadian berlaku pada 16 September lalu ketika mangsa sedang bekerja dan terlihat satu iklan tawaran pelaburan di laman Facebook yang mempromosikan pelaburan itu.
“Mangsa mendaftar satu akaun pelaburan dalam laman sesawang berkenaan, seterusnya membuat pembayaran ke enam akaun bank syarikat secara berperingkat membabitkan 26 transaksi secara dalam talian.
“Mangsa menyedari tertipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam akaun pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, mangsa kerugian keseluruhan RM333,576 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi seumpama itu semakin berleluasa dengan 101 kes dilaporkan di daerah Kuching dari 1 Januari hingga 12 November membabitkan jumlah kerugian keseluruhan RM23.31 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








