100 tan sampah dikeluarkan dari kawasan kebakaran paip gas di Putra Heights
SUBANG JAYA – Dianggarkan 100 tan sampah dikeluarkan dari kawasan penempatan penduduk yang terjejas dalam kebakaran akibat letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawasan pembersihan yang sebelum ini tertumpu di Taman Putra Harmoni kini diperluaskan ke Kampung Kuala Sungai Baru selepas kelulusan baharu dikeluarkan dua hari lalu.
“Setakat semalam (Khamis), sebanyak 100 tan sampah berjaya dikeluarkan dari kawasan Taman Putra Harmoni dan jumlah ini dijangka terus meningkat apabila Kampung Kuala Sungai Baru turut dibenarkan untuk pembersihan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Amirudin turut menekankan kepentingan mempercepatkan proses pembersihan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk yang terkesan terus terpelihara.
“Kita telah minta bantuan daripada semua jentera dan agensi supaya kerja pembersihan dapat dilakukan segera kerana insiden ini masih memberi kesan trauma kepada penduduk,” katanya.
Tambah beliau, usaha pembersihan dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan KDEB Waste Management (KDEBWM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







