Program Publisiti Rancangan Tempatan MPSepang 2035 bermula – Amirudin
CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian) yang berlangsung dari 1 Julai hingga 1 Ogos 2025.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin.
Program berlangsung di Semarak Hall@Cyberjaya dengan kehadiran wakil agensi kerajaan, penduduk serta pemegang taruh (stakeholders) kawasan.
Amirudin berkata, inisiatif itu memberi ruang kepada semua pihak termasuk orang awam untuk menyuarakan pandangan terhadap hala tuju pembangunan daerah Sepang secara langsung.
“Program itu bukan sekadar pameran statik semata-mata, tetapi ia membuka peluang kepada orang awam, wakil komuniti dan agensi berkepentingan untuk menyuarakan pandangan, bantahan atau rayuan secara rasmi seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan MPSepang, hari ini.
Menurut beliau, penglibatan aktif rakyat amat penting dalam memastikan perancangan pembangunan daerah dibuat secara inklusif dan seimbang.
Program itu menggunakan dua kaedah utama iaitu pameran tetap di pejabat kerajaan dan pameran bergerak di pusat membeli-belah terpilih sekitar Daerah Sepang seperti D’Pulze Shopping Centre, IOI City Mall, KIP Mall Kota Warisan, Mitsui Outlet Park dan Pusat Informasi Bagan Lalang.
Pameran tetap pula boleh dikunjungi di beberapa lokasi termasuk Kompleks Majlis Perbandaran Sepang, Pejabat PLANMalaysia Zon Tengah, Pejabat PLANMalaysia Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah Sepang.
Menurut Amirudin, draf rancangan itu merupakan sebahagian daripada projek pembangunan yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan bermula April 2024 hingga April 2025.
Pelaksanaan program diselaras oleh Jabatan Perancangan Bandar MPSepang dengan matlamat untuk memaklumkan draf yang telah disediakan dan membuka ruang semakan serta penyertaan rakyat.
Selain itu, program itu turut memperincikan strategi, dasar dan cadangan pembangunan mampan bagi memastikan masa depan Daerah Sepang lebih terancang, efisien dan berdaya tahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















