Kerajaan Selangor salur RM2 juta, pulih bekalan elektrik Pangsapuri Seri Perantau
KLANG – Kerajaan Selangor mengambil maklum isu gangguan bekalan elektrik yang berlarutan di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, yang menjejaskan kira-kira 128 unit kediaman melibatkan 600 penduduk, sejak 7 Disember lalu.
Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, hasil penelitian awal mendapati kelemahan aspek penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kejadian kebakaran, sekali gus menjejaskan sistem bekalan elektrik serta kemudahan asas bangunan.
Susulan itu, tindakan pemulihan menyeluruh dan berperingkat dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk.
“Sebagai langkah awal, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalurkan peruntukan sehingga RM2 juta bagi menampung kos kerja pembaikan dan pemulihan, yang akan diselaraskan oleh kerajaan negeri termasuk pelantikan kontraktor berkaitan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, isu itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Khas Pemulihan Infrastruktur Kritikal Insiden Kebakaran Elektrik di Blok C, yang dipengerusikan oleh Borhan Aman.
Dalam masa sama, inisiatif tanggungjawab sosial korporat antara PKNS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut digerakkan, termasuk bantuan melalui Skim CERIA serta usaha mempercepat penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB).
“Selangor menegaskan komitmen untuk terus memantau perkembangan tersebut dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka sederhana dan panjang dapat dilaksanakan demi kebajikan penduduk,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








