Kalimah Allah: Anwar nafi kerajaan tidak runding dengan Majlis Raja-Raja
KUALA LUMPUR – Dakwaan kerajaan tidak berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah tidak benar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri itu, perkara tersebut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jelasnya, Yang di-Pertuan Agong kemudian memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak.
“Jadi, tidak timbul sama sekali soal tidak dirujuk dan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada 7 Februari adalah memperaku.
“Ini diminit dalam Mesyuarat Majlis Jemaah Menteri memperaku keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu nama Allah tidak boleh digunakan walaupun ada pandangan-pandangan peribadi yang lain,” katanya dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan adakah pihak kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri terlebih dulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes itu.
Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, keputusan KDN menarik balik rayuan tersebut adalah disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan kabinet pada tahun 1986.
Katanya, KDN telah memperhalusi dan meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 dan mendapati berlaku percanggahan arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan berpihak kepada Jill Ireland.
Susulan daripada penarikan tersebut,
KDN sedang mengkaji dan mengemas kini satu arahan pentadbiran lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan.
Tegas Anwar, isu seperti ini tidak sepatutnya dipolitikkan dan pendirian kerajaan adalah memperaku keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
“Satu, nama Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung Tanah Melayu. Kedua, kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak.
“Inilah keputusan yang dibuat yang menyebabkan tidak ada rayuan dalam kes pentadbiran,” katanya lagi
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








