Seringgit pun bernilai untuk satu hidangan – Nur Eliana
LUMRAH kehidupan manusia, ada pekerjaan yang dilakukan sekadar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan dan ada juga yang melakukannya kerana cinta dan keikhlasan.
Bagi Nur Eliana Abdullah, 54, memasak bukan sekadar rutin harian tetapi sebagai satu misi kemanusiaan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Sebagai pengasas Eliana Kitchen dan Eliana Charity Group, dua kali setiap minggu beliau gigih menyediakan makanan untuk gelandangan dengan penuh kasih sayang.

“Setiap pagi seawal pukul 8.30 pagi, saya bersama pasukan kecil kami yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat akan memulakan proses memasak.
“Menjelang pukul 11 pagi, makanan mesti siap untuk diedar di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL). Giliran kami menyediakan makanan untuk gelandangan pada setiap hari Khamis dan Jumaat,” ujar Nur Eliana ketika ditemui Malaysia Tribune di rumahnya baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam menyajikan makanan buat gelandangan, tiada istilah untuk menyediakan ‘sekadarnya’.
Sebaliknya, wanita berhati emas ini berpandangan apa yang beliau dan keluarganya makan, maka itulah juga menu yang perlu golongan gelandangan nikmati.

“Kalau kita makan nasi kukus dengan lauk yang enak, mereka pun patut merasa yang sama. Saya tak mahu bagi makanan sekadar cukup syarat.
“Ini kerana memasak adalah terapi dan kegemaran saya. Setiap kali masuk ke dapur, saya akan pastikan memasak dengan penuh kasih sayang dan dari hati.
“Apabila melakukan sedemikian, orang yang menikmatinya akan turut merasai ‘kasih sayang’ melalui makanan tersebut,” jelas beliau yang akan memastikan setiap hidangan disediakan penuh teliti selain menjaga kualiti makanan.

Kisah di sebalik kerja-kerja kebajikan
Bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan pihak berkuasa tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam menyediakan makanan buat gelandangan sejak 10 tahun lalu, Nur Eliana berkongsi sebab beliau berbuat demikian.
“Sebenarnya ia bermula dengan 10 ekor ayam yang disediakan untuk pelanggan kami di Eliana Kitchen yang mahu berinfak dan memberi makan kepada gelandangan.
“Maka kami pun menyediakan masakan tersebut. Waktu itu, saya dan keluarga terfikir untuk melihat proses agihan tersebut yang dibuat di sekitar kawasan Jalan Hang Lekir.
“Ada meja dibuka dan saya terperanjat apabila melihat gelandangan yang beratur mencecah ratusan orang sedangkan makanan yang dibawa hanya sedikit.

“Melihat ada di antara mereka yang tidak dapat makanan kerana sudah habis sebelum tiba giliran, hati saya sebak. Pada saat itulah, saya bernekad mahu membantu,” imbau Nur Eliana.
Tegas beliau, misi kebajikan itu bukan sekadar menyediakan makanan tetapi juga mengajar masyarakat untuk lebih prihatin dan bersyukur.
“Setiap gelandangan ada kisah mereka sendiri. Mereka bukan selamanya akan berada di jalanan. Sebagai manusia, kita kena bersikap rendah hati.
“Hidup ini sangat singkat, jadi lakukan apa saja yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ungkapnya.
Sokongan insan terdekat
Dalam pada itu, Nur Eliana bersyukur kerana ada insan di sekelilingnya yang memberi sokongan dan membantu projek kebajikan tersebut.
Ini termasuklah menantunya, Mohd Noor Taufik Basaruddin; kakak iparnya, Hafizoh Ismail Mukhtar serta anak-anaknya yang datang membantu ketika cuti belajar iaitu Aiman Zaid dan Tihanny.

Bagi Aisy Ammar Saif Annuar, 21, berkata, dia akan membantu ibunya setiap kali cuti semester.
“Melihat kesungguhan ibu memasak setiap hari untuk membantu golongan gelandangan membuatkan saya bersyukur dengan apa yang saya ada.
“Saya harap lebih ramai remaja di luar sana sedar bahawa mereka juga boleh memainkan peranan dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan dan memerlukan,” kata mahasiswa UiTM Shah Alam ini.
Cabaran dan harapan
Bagaimanapun, menurut Nur Eliana, antara cabaran terbesar yang dihadapi dalam penyediaan makanan buat gelandangan ini adalah dana.
Ujarnya, kos operasi untuk menyediakan makanan itu mencecah RM2,000 hingga RM3,000 setiap minggu.
Justeru katanya, beliau akan menggunakan sebahagian keuntungan daripada perniagaan Eliana Kitchen yang diusahakan untuk menampung keperluan tersebut.

“Alhamdulillah, ramai juga pelanggan kami yang sangat istiqamah bersedekah. Namun, jika ada kekurangan saya sendiri akan menampungnya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan buat pihak kerajaan yang membantu melalui agensi yang berkaitan, tetapi pada masa yang sama Nur Eliana juga berharap lebih banyak sokongan diberikan kepadanya.
“DBKL kini menyediakan tempat untuk gelandangan di PTGKL. Ini satu langkah yang baik, tetapi hakikatnya masih ramai yang memerlukan bantuan di jalanan, terutamanya pada lewat malam,” katanya.

Keikhlasan jadi kunci terus memberi
Walaupun perjalanan menyantuni golongan gelandangan itu sentiasa dipenuhi cabaran, semangat Nur Eliana tidak pernah luntur.
Bagi beliau, memasak untuk gelandangan bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi tentang memberi harapan dan menunjukkan kasih sayang sesama manusia.
Oleh itu tegasnya, misi yang dilakukan bukan bersifat sementara.
Mengajak masyarakat bersama
Nur Eliana percaya bahawa semua orang boleh mengambil bahagian dalam membantu mereka yang memerlukan, sama ada melalui sumbangan, tenaga atau sekadar menyebarkan kesedaran.
“Kita kena sensitif dengan keadaan sekeliling dan bantu setakat yang mampu. Jika seorang memberi seringgit pun, itu sudah cukup untuk satu hidangan. Yang penting adalah keikhlasan,” tegasnya.
Bagi mereka yang ingin menyumbang atau menjadi sukarelawan, Eliana Kitchen sentiasa mengalu-alukan bantuan.
Sama ada membantu di dapur atau mengedarkan makanan di pusat transit, setiap usaha kecil mampu memberi perubahan yang besar.

“Apa yang penting, buat baik dengan apa yang kita mampu. Allah akan bantu. Perjalanan ini memerlukan komitmen dan istiqamah. Jika kita benar-benar mahu membantu, pasti ada jalan.
“Dan pastinya saya tidak akan mampu melakukan semua ini tanpa sokongan daripada ahli-ahli Eliana Charity Group yang sangat positif dalam menghulurkan bantuan,” ucapnya.
Bagi wanita bersemangat waja itu, Eliana Kitchen dan Eliana Charity Group bukan sekadar perniagaan dan kebajikan, tetapi satu perjuangan bersama dalam misi kemanusiaan.
Perjuangan untuk berkongsi rezeki, menyebarkan kasih sayang dan memastikan tiada siapa yang tidur dalam kelaparan.
Untuk mereka yang mahu menyumbang, boleh salurkan sumbangan anda melalui CIMB Eliana Kitchen 8602680961 atau hubungi talian 011-21895098.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















