JWP, HRD Corp jalin kerjasama strategik perkasa komuniti Wilayah Persekutuan
PUTRAJAYA – Usaha memperkasa komuniti Wilayah Persekutuan terus diperkukuhkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui jalinan kerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) menerusi pelbagai program latihan kemahiran dan padanan pekerjaan secara percuma.
Inisiatif tersebut memberi fokus kepada golongan rentan, miskin bandar, belia dan warga emas, khususnya melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang menekankan aspek pembangunan kapasiti, latihan teknikal dan profesional serta mobiliti ekonomi kumpulan sasar.

Menurut kenyataan JWP, kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan, sekali gus membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan bandar.
“JWP komited untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Melalui sinergi bersama HRD Corp, kami yakin lebih ramai rakyat di Wilayah Persekutuan akan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan bandar dan melonjak ke tahap ekonomi yang lebih baik,” menurut kenyataan JWP dalam satu hantaran di Facebook.
Mesyuarat pertama inisiatif tersebut yang berlangsung semalam dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosioekonomi) JWP, Datuk Parang Abai@Thomas bersama Ketua Bahagian Operasi HRD Corp, Muhamad Hafez Kamaruddin serta pegawai kanan kedua-dua organisasi.
Antara program utama yang akan dilaksana termasuk roadshow latihan bersama komuniti, padanan pekerjaan, latihan di tempat kerja (On-the-Job Training) dan kursus kemahiran yang dirangka mengikut keperluan industri utama di Wilayah Persekutuan.
Kesemua perkhidmatan itu ditawarkan secara percuma oleh HRD Corp.
Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama tersebut berteraskan tiga kluster iaitu dasar dan perkongsian antara agensi, pemberdayaan komuniti serta pengembangan ekosistem latihan yang turut merangkumi pelaksanaan inisiatif Upaya@PUJI secara menyeluruh.
“Langkah ini adalah antara usaha berterusan JWP ke arah membentuk masyarakat berpendapatan tinggi, berdaya tahan dan sejahtera secara mampan, selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








