BERITA SEMASA

Melaka laksanakan catuan air jika paras empangan jatuh ke 70 peratus

ALOR GAJAH – Kerajaan negeri Melaka bercadang melaksanakan catuan air sekiranya paras tiga empangan utama di negeri tersebut jatuh ke paras 70 peratus.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu merupakan satu persediaan menghadapi musim kemarau September ini.

Ketika ini bekalan air di tiga empangan berkenaan iaitu Jus, Asahan dan Durian Tunggal berada pada tahap 100 peratus.

“Setakat ini kita tiada cadangan buat catuan air tapi saya dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan cadangkan, jika bekalan air di empangan berkurang ke paras 70 peratus kita akan terus buat catuan.

“Bila dah kurang 70 peratus kita akan buat langkah awal sedut air dari Tasik Ayer Keroh salurkan ke Sungai Melaka sebagai sokongan, dan juga air di Tasik biru 1,2,3 di Chincin, Jasin.

“Tak perlu lagi kita tunggu paras air di empangan turun pada paras 40 peratus baru nak catu macam dulu pada 2019 kita dah tiada masa jika berlaku kemarau berpanjangan,” kata Hameed Mytheen, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau seterusnya menjelaskan, sekiranya catuan tersebut dilaksanakan, ia hanya akan melibatkan kawasan kediaman sama ada dilakukan secara berkala mengikut zon atau secara selang sehari namun tidak melibatkan kawasan perindustrian.

“Ini kita sedang kaji sama ada catuan di kawasan kediaman ini dibekalkan mengikut zon atau selang sehari namun bagi kawasan perindustrian bekalan akan diteruskan seperti biasa.

“Kita tidak mahu jika catuan dibuat di kawasan industri, timbul pula masalah lain pekerja tak boleh kerja sampai sektor itu terpaksa tangguh operasi yang mana akan memberi kesan besar pada ekonomi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button