Kemarau jejas takungan empangan, beri kesan hasil pengeluaran padi
JERLUN – Paras air beberapa empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas akibat kemarau yang melanda kawasan utara negara dan dijangka memberi kesan terhadap pengeluaran padi pada musim ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, antara yang paling terkesan ialah paras takungan air di Empangan Pedu yang menyusut kepada sekitar 40 peratus berikutan cuaca panas melampau serta keadaan cuaca tidak menentu.
Beliau berkata, hujan yang mula turun di beberapa kawasan tidak memberi kesan besar kepada takungan empangan kerana hujan perlu berlaku di kawasan hulu bagi meningkatkan simpanan air.
“Pada masa ini, MADA merancang untuk melaksanakan kaedah tabur kering sebagai langkah sementara sementara menunggu bekalan air empangan disalurkan seperti biasa.
“Hasil padi memang sedikit merosot akibat cuaca tidak menentu, namun kerajaan telah menyediakan peruntukan bantuan gantian yang agak tinggi bagi meringankan beban petani,” memetik BH online.
Menurut data laman rasmi MADA, kadar takungan air di beberapa empangan utama mencatatkan penurunan iaitu Empangan Muda sebanyak 11.12 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 55.96 peratus, dengan jumlah keseluruhan takungan sekitar 41.55 peratus.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya sedang memantau kesan ketegangan geopolitik di Adia Barat terhadap sekuriti makanan negara, terutama kemungkinan peningkatan harga minyak global.
Beliau berkata, walaupun bekalan makanan negara setakat ini tidak terjejas secara langsung, konflik berpanjangan dibimbangi boleh meningkatkan kos import dan pengangkutan bahan makanan.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Antarabangsa dan Sekuriti Makanan menyediakan laporan kesan konflik tersebut dalam tempoh seminggu.
“Kita bimbang jika konflik berlarutan, harga minyak akan meningkat dan seterusnya menjejaskan harga barangan di pasaran,” katanya lagi.
Mohamad turut memberi jaminan bahawa stok bekalan daging, ayam dan kelapa mencukupi bagi menampung permintaan menjelang musim perayaan Aidilfitri akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








