AFSRB medan perkukuh kerjasama serantau tangani krisis makanan, iklim
KUALA LUMPUR – Mesyuarat ASEAN Food Security Reserve Board (AFSRB) kali ke-45 yang berlangsung di sini, baru-baru ini menjadi platform penting membincangkan isu bekalan dan permintaan makanan asas serta mengukuhkan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran global.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, ia termasuklah cabaran seperti krisis makanan, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.

“Mesyuarat yang diadakan pada 25 hingga 26 Ogos di Hotel Royale Chulan itu dianjurkan KPKM selaras dengan komitmen Malaysia sebagai tuan rumah secara bergilir mengikut abjad.
“AFSRB yang ditubuhkan sejak 1979 berperanan memperkukuh keselamatan makanan di rantau ASEAN melalui perbincangan tahunan melibatkan isu strategik berkaitan empat komoditi utama iaitu beras, jagung, gula dan kacang soya,” kata kenyataan tersebut.
Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd dengan penyertaan wakil dari tujuh negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.
Turut hadir ialah wakil Sekretariat ASEAN, Sekretariat AFSRB, Sekretariat ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) serta Sekretariat ASEAN Food Security Information System (AFSIS).
“Dalam mesyuarat tersebut, para perwakilan dimaklumkan mengenai status semasa sekuriti makanan di peringkat global, serantau dan negara anggota, termasuk cabaran yang berpunca daripada ketidaktentuan pasaran serta impak perubahan iklim.
“Selain perbincangan teknikal, mesyuarat turut memberi ruang mempromosikan hasil pertanian tempatan melalui pameran produk serta menu makanan berasaskan keluaran Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
Mesyuarat AFSRB ke-46 seterusnya akan dianjurkan oleh Myanmar pada tahun 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








