13 lagi pemeriksa kenderaan ditahan SPRM disyaki rasuah
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 lagi pemeriksa kenderaan yang dipercayai terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat secara tidak sah di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara.
Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada dua sesi berasingan.
Penahanan pertama dilakukan antara pukul 1 hingga 2 petang, kelmarin manakala selebihnya ditahan pada Rabu antara pukul 10 pagi hingga 3 petang.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan daripada ‘runner’ sebagai ganjaran meluluskan pemeriksaan kenderaan secara tidak mengikut prosedur,” katanya.
Penahanan itu susulan tangkapan enam pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu hasil maklumat daripada soal siasat terhadap seorang ejen diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.
Sehingga kini, SPRM telah menahan 22 individu, termasuk 19 pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua ‘runner’ yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.
“Bagaimanapun, kesemua 13 pemeriksa kenderaan yang ditahan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil,” katanya.
SPRM kini giat menjalankan siasatan bagi membongkar rangkaian sindiket dan memastikan mereka yang terbabit diheret ke muka pengadilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












