Cristiano Ronaldo terima BMW mewah bernilai RM941,000 hasil tajaan Al-Nassr
RIYADH – Bintang bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo, menerima kereta mewah BMW baharu bernilai RM941,000 di pusat latihan Al-Nassr, selepas kelab Liga Pro Saudi itu memeterai perjanjian penajaan baharu dengan BMW Arab Saudi.
Ronaldo bersama rakan sepasukannya di Al-Nassr dilihat menerima kenderaan mewah tersebut di luar pusat latihan kelab berkenaan, dengan setiap pemain diberikan kereta baharu hasil tajaan daripada pengeluar kereta Jerman itu.
“Kemewahan bertemu bintang bola sepak. Pemain Al-Nassr di sebalik stereng BMW mereka,” kata Al-Nassr di laman media sosial rasmi mereka.

Setiap pemain Al-Nassr, termasuk pengurus Stefano Pioli, menerima kereta yang direka khas untuk mereka, dengan tanda tangan peribadi setiap pemain turut dihiasi pada kenderaan masing-masing.
Dalam satu klip video yang dikongsi kelab, Ronaldo, 39, memberi pandangannya mengenai kenderaan itu yang disifatkannya sebagai sebuah kenderaan yang menarik dan selesa untuk dipandu.
“Sangat menarik, sangat selesa. Saya suka, warnanya menarik, reka bentuknya juga sangat cantik,” kata Ronaldo.

Kereta-kereta mewah ini diberikan sebagai sebahagian daripada perjanjian penajaan antara Al-Nassr dan BMW Arab Saudi, yang menjadikan syarikat itu sebagai rakan rasmi kenderaan kelab sehingga tahun 2027.
Di bawah perjanjian tersebut, Al-Nassr menerima pelbagai kenderaan moden, termasuk model BMW XM dan 7 Series.
“Perkongsian ini adalah langkah baharu dalam komitmen kami untuk menyokong sukan di Arab Saudi, khususnya bola sepak, yang menyatukan masyarakat dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Kami yakin bahawa perkongsian ini akan memperkukuh nilai inovasi dan kecemerlangan yang dikongsi bersama BMW dan Al-Nassr. Kami berharap ia akan membantu Al-Nassr mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” kata Pengurus Besar BMW Group Arab Saudi, David McGoldrick.
Perjanjian ini menyamai kerjasama antara Real Madrid dan BMW, di mana pemain bintang kelab Sepanyol itu turut menerima kenderaan baharu pada permulaan musim ini.
Al-Nassr kini berada di tangga keempat Liga Pro Saudi dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Al-Ittihad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








